siddiq-osman

Tuesday, June 3, 2008

satu saranan

Perpecahan Yang Dipandang Remeh.
Oleh: Anak _ Ayah

Assalamualaikum saya memilih tajuk ini untuk dijadikan isu bagi keluaran kali ini kerana ingin mengalih perhatian pembaca dari masalah-masalah lain. Kita kini dilanda seribu satu permasalahan dalam segenap lapisan masyarakat, dalam seluruh pelusuk kehidupan. Orang tua dengan masalah perpecahan dalam keluarga, Belia dengan masalah tekanan dan juga bebanan hutang , remaja dengan masalah soasial dan kanak – kanak terdedah kepada penganiayaan. Hidup di zaman ini sering diburu ketakutan, kerisauan, kesedihan, kezaliman, korupsi dan juga konflik. Perkara ini menggugat kestabilan ekonomi, politik dan juga sosial.

Saya yakin dan beriman masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan Islam. Syed Qutb menyebut bahawa permasalahan aqidah merupakan tunjang kepada segala masalah dan itulah satu satunya cara untuk memulihkan segala krisis. Saya mengajak pembaca beriman dengan ungkapan ini. Semua makhluk Allah ciptakan berpasangan agar mengimbangi kelemahan yang sebelah lagi. Tetapi jika bukan kerana Allah makhluk itu bersatu akan beranak pinak kepincangan lain dari persenyawaan makhluk tersebut.

Saya mulakan dengan permasalahan ekonomi. Andai Islam tidak menjadi neraca segala urusan ekonomi, maka sampai bilapun ekonomi tidak akan bersih dari penindasan. Ini kerana selain dari sistem Islam yang Allah sendiri sediakan tidak ada satupun sistem yang bersih dari niat menjaga kepentingan sesuatu pihak, ini berlaku kerana sistem lain disediakan oleh manusia yang ada rasa berbelah bagi dan risau akan penerusan puak atau keturunannya. Berbanding dengan Allah Yang Maha Sempurna, Kaya dan tidak terpengaruh dengan sebarang kecacatan. Tetapi sayangnya sistem Allah ini hanya dijadikan alternatif bagi menarik pelanggan yang inginkan urusniaga Islam. Ini berlaku di mana mana.

Kita jengah pula dalam sistem politik yang paling kerap mencetuskan perbalahan dan juga perpecahan. Sistem demokrasi yang dikatakan paling ideal dan juga selamat dari sebarang penindasan ini sebenarnya mengenepikan banyak aspek aspek keadilan. Demokrasi sekadar membawa idea penyamaan yang pincang. Sedangkan Allah berkali kali menyatakan bahawa orang yang berilmu itu tidak sama dengan orang yang dungu. Allah juga menyebut berkali kali membezakan antara lelaki dan wanita. Keengganan meyakini Al Quran menjadikan manusia berbunuhan bagi mendapatkan sesuatu yang Allah sebut sebagai bala dan ujian. Harta, wanita dan takhta adalah ujian yang sangat ingin dinikmati nafsu. Allah yang menciptakan nafsu dan juga iman maka Allah jua yang layak menentukan perjalanan yang seharusnya bagi keduanya tidak bertembung. Islam sahaja yang dapat mengawal ketamakan kuasa yang seringkali menjadi bahana yang menyeru kepada perpecahan.

Gejala sosial terlalu meruncing di negara-negara yang membangun dan sudah hilang keamanan sosial di negara maju. Mungkin ada yang enggan menyetujui kenyataan ini. Saya berani mengatakan gagalnya penerusan hubungan perkahwinan adalah sebagai petanda kepada pincangnya sistem sosial sesuatu masyarakat. Keluarga dipersetujui oleh seluruh tokoh ilmu jiwa baik dari barat mahupun dari timur sebagai sekolah pertama kepada peribadi dan perilaku. Hanya Islam yang menjanjikan pembentukan keluarga yang terperinci dan menyeluruh dari pemilihan jodoh hinggalah ke pendidikan anak anak.

Semua sistem yang lain selain Islam hanya membawa manusia kepada perpecahan dan permusuhan. Bahkan ada sistem yang merasakan perpecahan itu diperlukan bagi mengawal manusia dengan mudah. Sedangkan Islam merasakan perpaduan dan kasih sayang sesama makhluk sahajalah sumber penyelesaian semua masalah ini. Saling kasih mengasihi, hormat menghormati. Kita dapat lihat kelebihan bersatu dalam banyak sumber selain Islam contohnya pepatah melayu yang terkenal bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pepatah arab ada menyatakan serigala itu hanya memakan kambing yang terpisah. Apatah lagi jika kita merujuk Al Quran dan Sunnah. Tetapi perpecahan akan melanda apabila ikatan itu diikat bukan kerana Allah.

Allah sahajalah sumber penyatuan yang sebenar. Saya tertarik dengan permasalahan yang ditimbulkan berkenaan isu penyatuan ummah ini. Bagaimana kita mungkin bersatu dengan warisan ilmu yang mengalir dalam berbagai aliran yang bertelagah sejak zaman dahulu? Saya yakin untuk menjawab persoalan ini memerlukan contoh yang dirakam dari sejarah silam. Sebenarnya aliran-aliran ini asalnya hanyalah kepelbagaian kefahaman, lama kelamaan semakin berjauh sehinggalah membentuk mazhab, Semakin lama semakin berbeza. Namun permasalahan sebegini belum menegang kepada persengketaan sehinggalah muncul generasi yang taasub dan gagal memahami punca perbezaan yang berlaku. Misalnya isu mazhab mazhab fiqh. Asalnya mereka saling berguru antara satu sama lain. Sehingglah imam – imam mazhab empat dijadikan rujukan terawal sebelum hadith dan juga Al Quran. Maka timbul pula golongan yang menafikan keharusan mengikuti mazhab. Sehingga muslimin menjadi ghairah untuk mengeluarkan pandangan masing masing. Akhirnya pintu ijtihad ditutup. Sebelum perkara ini dibukukan sebagai ilmu. Umat Islam mengalami ketidak stabilan politik dan peperangan yang tak putus putus. Sehinggalah hakikat ini samar dan terpendam di dalam kitab kitab sejarah sahaja.

Kini perpecahan timbul bukan sahaja kerana ilmu dan perselisihan antara tepat dan kurang tepat. Bahkan perselisihan kini menjermuskan masyarakat kepada kekeliruan dan kesesatan kerana yang berselisih adalah antara haq, bathil dan kekeliruan. Yahudi telah melancarkan peperangan saraf dan mengirim musuh musuh dalam selimut ke dalam lapangan keilmuan Islam. Dari sini timbul pula berbagai bagai aliran modern dalam Islam. Aliran ini ditimbulkan kononnya bagi menyelaraskan Islam dalam kehidupan zaman kini. Maka timbullah Islam dalam label baru yang diubah suai asas asas Islam mengikut citarasa masing masing. Oleh kerana tiadanya satu kerajaan Islam maka tidak ada sesiapa yang berkuasa menyelar mana mana golongan.

Maka sekarang ini tanggungjawab ummah ini yang terutama adalah mengembalikan daulah supaya perpaduan yang bermatlamatkan Allah terlaksana. Selagi perkara ini tidak berlaku sampai bilapun kebahagiaan sejagat hanyalah angan angan yang sia sia. Bila bertanya bagaimana ingin membina daulah. Jawapan yang paling senang untuk dilaksanakan hanyalah dengan menegakkan Islam dalam diri sendiri kemudian kaum keluarga dan berkembang sehinggalah masyarakat. Satu satunya jalan selamat ke arah daulah adalah dakwah dan tarbiyah.

Perlu saya tegaskan bahawa dakwah itu sangat luas dan ada syarat-syaratnya. Saya petik dari firman Allah yang bermaksud “dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari mereka yang mengajak kepada Allah dan melakukan amal amal soleh lalu mereka mengatakan sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Muslim.” Maka syarat dakwah yang utama di sini adalah mengajak kepada Allah, bukan kepada jamaah atau parti atau ideologi. Disertakan pula ajakan itu dengan amal amal kebajikan yang membawa kebaikan pada masyarakat dan alam. Akhirnya mereka tidak menyatakan diri mereka ini selain sebagai Muslim yang menyerah diri kepada Allah. Lapangan dakwah itu termasuklah lapangan ekonomi, politik, pendidikan, keselamatan,kehakiman dan segenap sudut kehidupan masyarakat.

Kefahaman yang murni sahaja yang bakal menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah dan kemajuan dakwah. Selagimana ilmu Islam dijadikan ilmu sampingan dan picisan selgi itulah juga permasalahan kemanusiaan itu akan terbengkalai. Saya menyeru pembaca kembali membaca Al Quran untuk belajar dan mengkaji. Membaca sunnah untuk mendalami dan memahami.

Hanya ilmu yang dibekalkan dari langit yang mampu memimpin kebahagiakan manusia seluruhnya tanpa berbelah bagi.
posted by umaq_eiman at 4:43 PM

2 Comments:

Salam.
Dakwah kepada Yang Satu dengan cara yang beribu... masalah dai'e zaman ini, x versatile dan x mengenali mad'u yg semakin pelbagai. Sy sendiri masih belajar...wallahua'lam.

June 5, 2008 at 8:36 AM  

Assalammualaikum w.b.t...
mungkin saya kurang bersetuju sedikit dgn kennyataan penulis yang mengumpamakan hanya Islam adalah agama yg betul sedangkan agama lain tidak.

jika diteliti kembali, sbnrnya semua agama mengajar manusia ke arah kebaikan. semua agama mengharamkan zina, minum arak, merampas harta, membunuh dll. konsepnya adalah sama. cuma, manusia yg tidak menghormati agama mereka dgn mengkhianatinya.

bukanlah mksd sy utk meyamakn agama Islam dgn agama yg lain, sy cuma menilai dr sg konsepnya shj. ilmu sy masih lg cetek utk mempertikai segala unsur yg t'kandung didlm nya...kerana tiada agama yg sesempurna agama Islam...

p/s : seandainya kenyataan sy ini adlh slh, sila perbetulkan...terima kasih...

September 4, 2008 at 9:35 AM  

Post a Comment

<< Home