siddiq-osman

Wednesday, April 10, 2013

Cerpenku di Tunas cipta once more...

Kali ini berlaku sedikit kecelaruan kerana cerpen ini pernah ku hantar ke Tunas Cipta agak lama iaitu lebih lima bulan lalu. Bagaimanapun oleh kerana dirasakan cerpen ini tidak menarik perhatian editor lalu saya dahulukan ke antologi Aku Kalis Peluru anjuran GKLN dengan tujuan memperjuangkan isu Palestin dalam penulisan kreatif GKLN telah mengumpulkan ahlinya dengan tujuan bekarya untuk Palestin.

Maka keberkatan palestin itu telah menyebabkan Menyelak duri di hati Atuk terbit sebanyak 2 kali. Iaitu dalam Aku Kalis Peluru dan juga Tunas Cipta April 2013... Selamat membaca.
posted by umaq_eiman at 11:03 PM 0 comments

Thursday, November 8, 2012

Merekah di tanah basah.

Tanah yang basah itu masih menerima hujan hidayah.
Tanah yang basah itu tetap basah.
Bahkan adakala ia bah.

Tanihnya berbau tengik bagi yang asing,
tetapi itulah keharuman bagi yang sering.
Warna merah sudah lama tertimbus.

Tumbuhlah hijau walau warna lain ada bertandang.
Sukarlah ditanding yang hijau dalam tanah ini.
Kerana hijaulah sunnah tanah yang basah.
Walaupun pembasahnya darah merah.

Namun merekah yang asing dari tanah ini
sudah menjadi seiring. Rekah membentuk retak,
rekah membunga pecah.
Aku memerhati dalam menadah tangan
agar hujan bertukar salju yang membalut semua
warna biar terpamer putih yang tulus dan mulus.

Tetapi suaraku dalam doa ini penuh dengan dosa
tiada asa selain aksara.
Kembalilah tanah basah yang tiada rekah.

Siddiq Osman
9/11/12
posted by umaq_eiman at 10:52 PM 0 comments

Thursday, July 5, 2012

Shamsiah Fakeh

SHamsiah Fakeh karangan Azzah AR sungguh ringan untuk minda menyedutnya dan sungguh segar untuk merehatkan jiwa tetapi sungguh membakar untuk mencintai negara dan merindui kemerdekaan sebenar... sesuai di baca oleh peminat kisah revolusi.
posted by umaq_eiman at 9:45 PM 0 comments

Saturday, May 5, 2012

puisi untuk bersih

Bersih, Apa Mahumu?

Bersih dahulu bicara pada kitab kuning,
kemudian dalam buku sivik,
kini hanya pada yang cerdas.

Baju kuninglah yang paling bersih,
masakan tidak itulah salinan diraja.
Dahulu khusus pada baginda.

Dituntut bersih oleh sekalian jelata.
Pada Suruhanjaya yang gagal bersihkan tugasnya.
Dimintakan lapan perkara.
Tulus, jujur, kudus, telus.
mulus, lulus, 
supaya rakyat boleh perlus dan jerluskan pemimpin yang jijik.

Sudah adat pusaka mamak dan sebelumnya,
diminta lain diterima lain pula.
Kalau lelaki pos menyampai surat jawapan duka dan suka.
Kini lelaki polis dan juga perempuannya menjadi penyampai.

Maka terimalah rakyat lapan perkara:
Tumbuk, terjah, kilas, rotan,
caci maki, dilanggar lenyek, gas dan kimia.
Mereka fikir mereka perwira,
tetapi  hanya barua.

Sudah hampir menuju keempat,
andai pertama tidak dilupa,
kedua menumbuh luka,
yang tiga tambah derita.
Pastilah yang keempat penamat duka.

Bukankah malam itu hanya dibahagi tiga?
Kelak siang pasti menjelma.
Jika bukan mentari yang menyinar,
ayam jantan jugalah yang bakal hingar.

Sudah sampai masa tikus kembali ke sarang.
Tiba sudah saat jebon menghilang.
Kerana Kuning akan memanjat langit ,
menyimbah bumi gilang gemilang,
terang benderang.

Siddiq Osman 
Hanya di pinggir BERSIH 3.0
Setiap detik sehingga BN tumbang.

posted by umaq_eiman at 4:44 PM 0 comments

Thursday, May 3, 2012

saya tak ikut bersih .. tapi masuk sayembara puisi bersih.

kalau menang layak ke macam tu..?
posted by umaq_eiman at 9:18 PM 0 comments

Monday, April 11, 2011

Cerpenku Lolos lagi...

Tajuknya pun belum pasti tapinya majalah tunas cipta juga ... beli ya keluaran april cari cerpen siddiq Osman.
posted by umaq_eiman at 12:57 AM 0 comments

Sunday, March 20, 2011

Kritikan HAMKA Terhadap Sistem Kapitalis dan Adat Kolot Dalam Merantau ka-Deli.


Oleh: Siddiq Osman.

BUKU berusia lebih 4 dekad itu sudah lusuh ketika saya melihat mertua saya, seorang pesara guru, meletakkannya di rak buku di rumahnya. Saya meminta izin untuk membaca novel yang telah lusuh jasadnya itu. Ya, jasadnya begitu lusuh tapi tema dan mesejnya hidup dan terus segar tidak ditelan zaman.

Pada pendahuluannya saya merasakan professor seperti HAMKA sedang mengkritik gaya hidup kapitalis yang telah mengorak sistem sosial republik Indonesia ketika itu. Tetapi setelah diamati dalam-dalam kini kuli-kuli kontrak itu boleh diterjemahkan kepada golongan bawah paras sederhana yang ada di serata dunia. Hidup mereka sentiasa ditipu oleh pemodal-pemodal yang dinamakan Pak HAMKA Tawkey-tawkey besar. Manakala mandor-mandor pula merujuk kepada pegawai pegawai tinggi hari ini. Sistem kapitalis ini memang menjadikan yang kaya bertambah senang dan yang miskin kekal sengsara. Inilah sistem yang menurut Pak HAMKA melahirkan rumah-rumah pelacuran dan pusat-pusat perjudian yang terus menerus menjerat golongan miskin yang tidak cerdik atau pendek fikir supaya terus menjadi hamba memenuhkan kantung golongan atasan.

Seterusnya Pak HAMKA membawa kepada sistem yang sepatutnya berlaku dalam suasana ekonomi yang menjadi penawar sosial. Dengan membawa watak Leman dan Poniem yang berjaya dari berada dalam kasta sederhana menjadi golongan lebih senang mereka tidak memeras tetapi membantu melahirkan ramai lagi golongan yang senang dan mengangkat martabat setiap kenalan yang datang mengadu. Inilah sistem takaful yang sebenarnya ditawarkan dalam sosio-ekonomi Islam sejak zaman Madinah lagi. Bangun seluruh isi negara agar sama-sama terangkat dan kemajuan itu terus mengukuh. Tanpa alpa Pak HAMKA menyemai nilai kesatuan tanpa mengira etnik atau adat dan bangsa. Pak HAMKA memberi jalan mudah untuk bersatu dalam melerai tuntutan khilaf untuk menuju penyatuan iaitu dalam dialog antara Poniem dan Leman yang meminta Leman berbicara hati ke hati dengan isterinya yang berasal dari suku lain.

Kehadiran Suyono melengkapkan sistem taawwun yang seperti mahu dicadangkan kepada masyarakat iaitu mewujudkan suasana menang-menang dan beri ambil dalam bergaul. Suyono memberi setia Leman dan Poniem memberi selesa. Perihal ini berlangsung tanpa kontrak yang menipu seperti yang berlaku pada sistem kapitalis yang menyediakan aku janji dan pelbagai dokumen yang kononnya bagi menjaga kedua pihak. Padahal kontrak itu selalunya menguntungkan pihak atasan sahaja. Saya terpegun seketika menikmati novel ini. Menurut ayah mertua ini bacaan sillibus untuk Sijil Rendah Pelajaran zaman pertengahan 1960-an. Begitu bernilai bacaan orang dahulu.

Setelah itu Klimaks novel ini mengisahkan bagaimana Leman yang menjadi adat pada lelaki tidak teguh janji mensia-siakan Poniem yang setia, atas alasan memenuhi kehendak keluarga. Seolah Pak HAMKA ingin menegur kaumnya jangan diikutkan nafsu dalam urusan nikah kahwin dan jangan mencari nikmat sementara tanpa berfikir dalam-dalam. Akhirnya Poniem diceraikan kerana sudah adat kolot yang diturutkan oleh kaum Leman mengongkong suaminya dari memilih kebahagiaan. Benarlah kata pepatah biar mati anak jangan mati adat. Adat itu selalu sahaja meragut kebahagiaan. Apa salahnya kurang beradat jika ada bahagia. Bukanlah ingin di salahkan adat tetapi dikutuk di sini terlalu dungu dalam menurut adat. Adat itu untuk membawa bahagia jika sudah akibatnya jelas derita untuk apa kita menurut? Seolah begitulah apa yang mahu dihidupkan dalam penceritaan kisah Leman yang menerima malang kerana tersalah turut hati dan adat.

Nilai murni dicalit pada latar malang si Poniem dan si Suyono yang terus cekal membina semula hidup dalam konsep taawwun yang dibina dari awal cerita. Kukuh dan majulah akibat mereka yang berterusan di atas konsep saranan Pak HAMKA dan luluh binasalah mereka yang menentang konsep yang dicemuh pak HAMKA dalam novelnya ini. Si Leman akhirnya kalah dalam rantaunya ke Deli walaupun hampir berjaya awalnya. Manakala si Poniem yang hampir lemas dalam nasib malang itu berakhir dengan bahagia dalam perantauannya ke Deli. Dalam penutup ini seolah ingin digambarkan bukanlah tempat atau tanah yang menentukan nasib untung atau rugi. Tetapi sikap dan lakulah yang menjanjikan jalan keuntungan atau kerugian.

Saya sarankan pembaca mencari novel ini dan nikmatinya. Saya yakin naskah yang hampir lerai kepingannya itu mampu meneguhkan minda dan jiwa siapa-siapa yang mencari kekuatan untuk membina perinsip hidup terutamanya golongan remaja yang sedang membina fikir dan jati diri mereka. Novel ini menggarapkan semangat yang besar dalam gaya yang sederhana.

Walaupun sedikit canggung Pak HAMKA memilih watak perempuan simpanan yang terjerat dan berani berubah sebagai watak beruntung. Di samping kisah rumah tangga yang kacau dek ribut hasutan kaum keluarga sebagai peringatan kepada kaum lelaki, tetapi olahan Pak HAMKA meleraikan canggung hingga menjadikan pembacaan turut mengheret emosi kita agar bersetuju dalam rasa marah dan benci pada Leman tatkala mahu juga menambah isteri walau risiko telah jelas di mata. Teknik penulisan Pak HAMKA sudah tentulah sangat kuat. Walaupun jelas penulis tersohor itu menghukum salah adat Minang melebihkan kaum wanita dalam hak milik tetapi dikupas elok agar tidak timbul anti Minang dalam kalangan pembaca. Kerana ada saja jalan keluar jika lelaki Minang mahu untuk tidak menurut.

Namun toleran begitu tidak diberi pada menghukum cacat sistem kapitalis Pak HAMKA mencantas terus sikap dan etika yang memuakan dalam lima puluh muka pertama. Saya sangat senang membaca 174 halaman sehingga larut malam sedang melayan si kecil yang sedang meragam kerana hidungnya tersumbat. Entahlah bagaimana jika kalian menyantap novel ini tatkala berada di pondok santai yang menghadap deru laut yang tenang. Selamat mencari dan menghayati.

posted by umaq_eiman at 11:09 PM 0 comments