siddiq-osman

Friday, June 26, 2009

VT antara dua seni.

VT merupakan novel remaja yang ditulis oleh penulis muda Hilal Asyraf, novel yang mengisahkan perjuangan seorang jurulatih muda skuad bola tampar sekolah. Novel ini dalah adaptasi dari kisah benar. Seorang jurulatih dan juga ustaz muda yang menggunakan bola tampar sebagai medan dakwah semestinya menjanjikan watak contoh dan kisah yang sarat dengan moral dan nilai dakwah.

Menggarap sebuah novel Islami bukanlah mudah kerana Islam dan dakwah itu bahan yang berat dan menyalurkannya kepada masyarakat perlu benar-benar halus. Namun Hilal berjaya menonjolkan Islam yang bersikap murunah atau fleksibel dalam gaya hidup atlet. Masalahnya kemungkinan mesej yang cuba Hilal serapkan agak kabur iaitu menjadi muslim itu mesti berdakwah. Bagaimanapun kilauan fikrah atau pemikiran Islam penulis jelas dalam novel ini. Cukup dengan mendatangkan ayat-ayat al Quran beserta hadith pembaca sudah dapat menangkap ini novel islami, apatah lagi ketika nama tokoh-tokoh Ikhwan turut menghiasi lembaran dialog di dalam VT.

Namun sebagai sebuah karya sastera mesej sahaja belum cukup untuk meletakkan VT sebagai novel yang diiktiraf. Setelah membaca VT saya merasakan cerita itu pada peringkat awal dirancang dan dislam dengan teliti. Sehinggakan saya berasa kembali berada di MATRI sekolah yang dipaparkan dalam VT. Saya dapat menggambarkan segenap babak dalam VT, sayangnya ketelitian ini hilang dalam babak-babak klimaks dan berakhir dengan penceritaan yang sedikit gopoh. Bagaimanapun unsur debaran yang dimainkan penulis mampu mengikat pembaca untuk menamatkan novel ini.

Bahasa yan digunakan di dalam VT sesuai untuk penghayatan remaja terutama mereka yang merindui suasana di MATRI(saya dan Hilal satu sekolah sebenarnya). Ada diselitkan kata-kata yang cantik dalam susunan ungkapan motivasi. Dalam menggarap penceritaan saya rasakan VT cukup rencahnya ada kematangan remaja, ada kenakalan, ada unsur persahabatan dan pengorbanan. Walaupun VT menampilkan cinta dalam konsep yang luas tanpa merujuk pemahaman cinta remaja seperti yang digambarkan umum namun perasaan menjadi mainan dalam penerokaan novel ini.

VT walaupun mengisahkan tentang bola tampar yang bukanlah sukan kegemaran ramai. Tetapi saya yakin boleh menjadi novel sukan yang baik. Mungkin kerana penulis sendiri adalah atlet semasa di Sekolah. Hilal menggunakan jalan mudah dalam menghidupkan watak dalam VT semuanya diadaptasi dari kehidupannya di MATRI. Saya yakin novel ini mampu memberikan kisah ideal yang hidup. Ini kerana kisah ini sememangnya peristiwa yang berlaku dan berulang-ulang dalam kehidupan di MATRI. Sedikit tambahan yang diwujudkan dan olahan yang sekadarnya oleh Hilal menjadikan VT novel yang sesuai untuk ditatap oleh mereka yang ingin ke MATRI.

Saya yakin selepas VT Hilal puas dan bersemangat untuk menulis lebih banyak lagi karya yang berkemungkinan lebih baik. VT merupakan karya dua seni dan hidup.
posted by umaq_eiman at 10:32 AM 0 comments