siddiq-osman

Wednesday, January 7, 2009

Bahasa Bahasa Taqwa.
Oleh : Siddiq Osman.
__________________________________________________________________________
“GURU, apakah manusia akan kembali dipimpin agama?” Asad menatap wajah Syeikh Amin dengan segara harap. Sudah fitrah anak muda ingin semua persoalan di benak berjawab, jawapan yang tiada lagi persoalan. Syeikh Amin merenung wajah Asad dengan renungan yang rendang. Kebiasaan orang dewasa memberi jawapan yang menjadikan anak asuhan mereka lebih berfikir. Syeikh Amin meneroka sel-sel memori di mindanya. Mencari – cari jawapan yang cukup bagi persoalan sebenar Asad.

“Asad kamu muridku yang paling jauh asalnya. Mungkin kerana inilah kamu juga yang paling jauh fikirnya.” Syeikh Amin mengalih posisi duduknya mendepani Asad. Asad terpana dengan kesungguhan guru tua itu memenuhi praktis sunnah hatta dalam menggerakkan tubuh juga ditelitinya. “Tiadalah pengetahuan aku melainkan saya cernakan dari ajaran-ajaran guru.” Asad segera mengendur takabbur yang melintasi dengan sepatah tazkirah diri. “Asad anakku, manusia itu manusia hanya sekiranya mereka beragama.” Syeikh Amin menyimpulkan ayat yang mengutuk mereka yang enggan menerima Islam sebagai pedoman hidup. “sesungguhnya mereka itu ibarat binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat.” Asad membaca ayat Allah yang disimpulkan oleh Syeikh Amin.

“Soalan kamu seharusnya, apakah masyarakat akan kembali menjadi manusia sebagaimana mereka dilahirkan?” Asad mengangguk tanda setuju. “Tiadalah aku selain muridmu yang sering terlupa.” Syeikh Amin senyum bangga melihat ilmu yang dialurkan dari lisannya mengalir dalam amalan murid kesayangannya. “Setiap manusia itu lahir dalam keadaan fitrah, maka ibubapanyalah yang akan mengyahudikannya , menasranikannya atau memajusikannya.” Hadith nabi ditampilkan sebagai ulangkaji spontan. “Jadi, apakah mustahil manusia kembali ke asalnya?” Syeikh Amin memandu Asad kepada persoalan mulanya. Asad mencatat sesuatu di notanya. “Apa pelajaran yang ingin kau tagih dari soalanmu ini?” Syeikh Amin ingin memastikan jawapannya usai dalam benak Asad.

“Aku melihat masyarakat sudah semakin jauh dari akhirat sedang mereka direntap ke arahnya. Aku merasa masyarakat sedang memeluk dunia sedang dunia meronta - ronta mahu lari dari mereka. Tidak aku lihat sekelompok manusia yang inginkan akhirat melainkan mereka bersama agama. Jadi, aku inginkan jalan untuk menemukan manusia dengan agama.” Asad mengerutkan keningnya menanti reaksi guru kesayangannya. Syeikh Amin menggerakkan butir tasbihnya. “Dunia semakin uzur, zaman semakin akhir, manusia semakin lemah. Tiadalah yang menemukan manusia dengan akhirat melainkan agama, tiada pula yang akan menemukan manusia dengan agama melainkan akhirat. Tetapi keduanya dicantum dalam satu pencarian. Ilmu itu menemukan segalanya.” Syeikh Amin berfalsafah.

“Guru, bahasamu sungguh teratur, sehingga kefahaman tersusun di mindaku bagai kitab kitab yang bersusun di raknya.” Asad belajar bermadah dalam menyatakan kefahamannya dan mempersembahkan peningkatan bahasanya. “Keindahan kalam adalah seni dari seni seni dakwah. Namun alat yang baik tidak mampu bergerak tanpa bahan api yang cukup.” Suatu pengiktirafan dan nasihat bercantum dalam kalam menjadikan Asad sukar untuk meleraikan perbualannya dengan guru yang sangat disayanginya. Biarpun peluang ini hanyalah dapat dikecapi dikala rakan rakan masih sedap menyelimuti tubuh dari sejuk yang membelai.

“Asad, aku kagum melihat kesungguhan kau menekuni ilmu di bumi ini. Tidak cukup di kuliyah kamu ke masjid pula. Belum sempat aku menyelak selimut kau pantas membalik kitab- kitab tua. Apa rahsiamu?” Soal Ammar ketika melihat Asad menelaah kitab Syarah Nuzum Al Waraqaat yang merupakan kitab asas bagi matapelajaran Usul Fikih. “ Cukuplah menyatakan padamu kata-kata ulama ulung Hatim Al Asom.” Ammar memangku wajahnya dengan telapak kanan. “Beliau berkata: Aku mengetahui rezekiku tidakkan dimakan oleh makhluk lain, Aku mengetahui amal yang bakal dihitung dalam timbanganku tak mungkin dilakukan oleh insan lain, aku mengerti maut akan datang tanpa sebarang pesan dan aku juga tahu aku tak mungkin terlepas dari pandangan Tuhan.” Ammar kagum. “Eh, ulang,ulang !” Ammar mencapai pena mencatatkan apa yang diulang Asad. “Asad apa cita-citamu?” Ammar menduga halatuju sahabatnya. “Aku ingin menjadi pakar ekonomi.” Ammar kaget. “Asad, engkau fahamkah apa itu maknanya cita cita?” Asad tersenyum sambil menepuk nepuk bahu Ammar. “ Adik, abang lebih tuntas untuk berbicara tentang definisi darimu.” Ammar terlupa bahawa Asad pelajar tahun akhir fakulti bahasa. “Begini, cita cita kita bukanlah apa yang kita laksanakan hari ini, Cita cita kita adalah apa yang kita usahakan saat ini.” Asad menerangkan.
“Jadi, kamu hanya mahu pengajian sasteramu ini di tahap ijazah sahaja?” Ammar menduga lagi.
“Jika lulus perancanganku dengan ketetapan Tuhan, aku akan menyambung ke pengkajian gaya bahasa wahyu di tahap sarjana.”
“Kemudian kamu mahu menjadi ahli ekonomi dengan menjual keindahan bahasa?” Tempelak Ammar bersahaja.

“Guru, kenapa manusia menganggap ilmu itu dengan anggapan yang sempit?” Asad memula bicara di pagi ini dengan nada yang keliru. “Anakku, Manusia hanya punya ruang pandang yang sempit. Apabila mereka melihat dari sudut yang salah maka tertutuplah pandangan mereka dari imej yang benar.” Asad melurut janggutnya yang sejemput. “Asad, jika kamu melihat ke bawah kamu sudah terhalang dari menikmati kebiruan langit. Apabila kamu melihat ke atas kamu sudah terhijab dari bahaya di bawah. Begitu juga manusia. Apabila mereka mendongak melihat orang yang lebih alim mereka terpana sehingga terlupa pada bahaya kejahilan, tatkala mereka memandang orang yang lebih jahil mereka merasa ilmunya sudah penuh.” Asad cuba menimbang jawapan gurunya dengan soalan awal. “Maksud guru ilmu itu tidak boleh dipandang pada manusia?” Syeikh Amin menggosok belakang tangan Asad. “Asad, Ilmu itu milik Allah.” Asad seperti baru tercelik. “Maafkan kealpaanku, Jadi Ilmu itu akan dikenal manusia seandainya mereka mengenal siapa pemiliknya yang hakiki.” Asad menyimpulkan hujah gurunya. “Sebab inilah Ali Karamallahu Wajhah menyatakan : Ilmu ini ibarat lautan dicelup jarum di dalamnya yang bersama jarum itulah ilmuku.”

“Ammar, di mana bolehku dapatkan faham tentang fungsi syarak?” Ammar berdehem dan berpaling melihat Asad yang sedang membelek rak kitab kepunyaan Ammar. “Buka Almadkhal lid dirasat Asy Syar’iyah Al Islamiyah.” Ammar menghampiri Asad. “Asad kenapa kau tidak mengambil jurusan syariah?” Asad mencapai buku yang disebutkan Ammar lalu menghadap ke arah tuan punya buku itu. “ Aku merasakan jika aku mempelajari syariah aku takkan menekuni bahasa arab.” Jawab Asad lalu membuka muka surat isi kandungan buku yang di genggamannya. “Jadi kenapa pula kamu mesti belajar bahasa arab?” Ammar menyusun persoalan. “Ammar, bahasa arab bagiku adalah asas kepada keilmuan. Cuba kau lihat dengan memahami bahasa arab aku boleh menelaah buku buku syariah, buku buku undang-undang, bahkan perubatan dan ilmu ilmu lain juga.” Ammar teringat kisah perjalanan ilmu Imam Syafie. “Apakah kau mencontohi Imam syafie?” Asad mengangkat mukanya. “Aku menuruti jalan yang sama, bukan Syafie sahaja menekuni bahasa sebelum ilmu lain. Engkau tentu telah belajar antara hikmah Rasul kita Muhammad dihantar ke wadi Bani Saad adalah untuk menguasai kefasihan yang menjadi warisan Bani itu.” Ammar tersenyum. “Kalau semua berfikir sepertimu, lenganglah kuliah syariah.”
“Kalau semua berpandangan sepertiku pelajaran syarak akan diserap ke semua kuliyah.”
“Idea kau bisa membunuh graduasi Syariah.” Ammar sekali lagi mempertikai.
“Bukan membunuh bahkan mencambahkan keperluan mereka dalam masyarakat.”
Ammar mematikan jadal setelah melihat Asad garang menegak pandangannya.

“Guru, aku terfikir, bagaimana kiranya kerajaan Islam terbentuk di hari ini?” Asad mendapatkan Syeikh Amin sebaik selesai solat maghrib senja itu. “Islam itu sangat sempurna, untuk membayangkan sebuah kerajaan Islam adalah sangat indah. Islam mempamerkan keindahan ini dalam lembaran sejarah.” Asad merasakan gurunya kurang menepati persoalan. “Maksudku bagaimana wasilah membina sebuah kerajaan Islam yang indah itu?” Asad menekankan suaranya dalam dalam. “Anakku, cara Islam mengambil kuasa banyak. Peristiwa peralihan kuasa ini berlaku sejak zaman nabi nabi dahulu lagi. Ada yang mengambil kuasa politik dengan peperangan. Seperti Jalut dan Talut. Ada yang merombak kepimpinan dari keupayaan individu seperti Yusuf alaihissalam. Tetapi apa yang Allah anugerahkan pada penutup sekalian nabi adalah terindah. Melalui pemaufakatan yang dibina di luar Makkah.” Asad mencatat sesuatu dalam notanya. “Tetapi guru apakah perananku untuk melihat Islam kembali memimpin?” Syeikh Amin membetulkan silanya. Masjid Makmurah semakin sunyi. Jemaah yang tinggal hanyalah pelajar pelajar yang sedang mengulangkaji nota. Ada seorang dua yang meniti huruf huruf Al Quran dalam suara yang perlahan. “ Asad, Islam perlu terlebih dahulu tegak dalam diri. Islam perlu diamalkan oleh muslim barulah nampak keindahan sistem hidup manusia.” Syeikh Amin menarik nafas dalam. “Guru, alangkah bahagianya kalau Rasulullah bersama kita. Dapat kita melihat keindahan Islam yang segar.”

“Ammar, pernah kamu mimpikan ingin melihat Rasulullah?” Ammar yang sedang membaca kitab Al Muruunah Wat Tatawwur Fi At Tasyri’ul Islami karangan Mustafa Siba’ie. “Asad, aku tak pernah terlintas tentang hal ini. Bagi aku Rasulullah sangat merindui kita, kita wajib mencintai baginda. Melihat baginda suatu nikmat, bersama baginda seribu rahmat, tetapi kita tidak dilahirkan di zaman baginda sebab kita tak mampu.” Asad khali. “Kenapa kamu bertanya? Kamu ingin berjumpa Rasulullah?” Ammar mengerling Asad yang masih termangu. Kendatipun kerlingan Ammar bertentang anak mata Asad namun minda Asad gagal menanggapi imej itu dek fokus yang balam. “Asad!” Ammar menegur. “Maaf, aku teringat kebenaran kata katamu. Apa soalmu tadi?” Ammar menggeleng. “ Tidak mengapa. Tiada yang penting.” Ammar kembali mengutip bacaan akhirnya. “Asad dengar ini, aku rasa noktah ini penting untuk diperhatikan. As Siba’ie menyatakan pembentukan negara dan masyarakat itu dalam perkara yang boleh berubah mengikut peredaran masa dalam Islam.” Asad mendekati Ammar mata mereka berkongsi imej. “Iya, tetapi Islam masih menggariskan perkara perkara yang mesti dikekalkan sebagai asas negara Islam seperti bersistemkan syura dan menjaga keadilan. Nama boleh sahaja bertukar tetapi konsep mesti dikekalkan.” Asad menyudahkan perenggan yang dimulai oleh Ammar. “Asad apakah kamu merasakan penulis membuka ruang perubahan terlalu luas dengan karyanya sebegini?” “ Bagi aku ia sudah kena pada tempatnya.” Asad menyangkal nipis. “Asad, dalam membaca kita juga perlu kritis.” “Ammar siapa aku? Untuk mengkritik orang yang berpengalaman besar dalam Dakwah.”
“Asad, Siba’ie bukanlah maksum.” “Tetapi, aku tidak mendapati cacat dalam bukunya yang ini. Kritis tidak bertempat lebih memudaratkan dari menurut tidak kena gaya.”

“Guru, kita sepakat bahawa ilmu membawa manusia kepada agama, ilmu memandu manusia kepada akhirat. Tetapi bagaimana pula ilmu yang semanfaat itu menjadi punca kepada perselisihan dan perpecahan?” Asad melepas nafas berat seberat persoalan di ruang fikirnya juga. Syeikh Amin menarik nafas menyegarkan saraf kepalanya bagi mencernakan sebuah jawapan yang tuntas. Biar jawapannya lekat di minda anak didiknya bukan jawapan yang diibarat air disiram ke keladi. “ Asad, ilmu itu setia pada manfaat. Biar apa jua rupanya, yang cabang meranting atau yang asas memerdu. Namun setiap nikmat Allah yang diberi berteman dengan ujian dari-Nya.” Asad menuruti jawapan gurunya tanpa terjatuh satupun dari perkataan. Dia mengharap ajaran ini berbekas dalam hidupnya bagai mengukir di batu pejal. “Sebelum belajar Imam Nawawi gemar mengingatkan agar disisip satu peringatan, perbetulkan niat, ikhlaskan matlamat. Inilah yang menjaga manusia dari perpecahan setelah menilai setiap perselisihan.” Syeikh Amin mengangkat tangan melambai balas seorang pemuda yang melambai tanda mahu keluar dari masjid. “Guru, mengapa perlu ada selisih pandang di kalangan ulama? Bukankah ini membebankan umat?” Soalan Asad kali ini mendesak jawapan yang lebih besar impaknya. “Asad, Imam-imam yang lalu bukanlah mengada-adakan perselisihan pendapat. Mereka sekadar menjalurkan ilmu dari zaman sahabat kepada kita. Perselisihan ini wujud bukan sekadar tidak membawa musibah kepada kesatuan umat, tetapi juga menjamin variasi dalam kesesuaian umat yang sentiasa berubah ubah. Di sinilah terbit kata kata ‘khilaf itu nikmat’ .” Asad mulai tenang. “Setiap nikmat ada ujian.” Kalimah ini disisip kemas di bibir Asad.

“ Ammar, apa yang kamu ingin lakukan jika pulang ke Indonesia nanti?” Asad membuka perbincangan sebaik sahaja meletakkan cangkir teh o ke lantai mozek. “Aku akan belajar sehingga ke tahap Ijazah Doktor Falsafah., kemudian bekerja di mana mana universiti yang memerlukan khidmat aku.” Asad mengangkat cawan teh lalu mencicip airnya yang masih panas. “Prof. Ammar Mulya.” Asad menggayakan tangannya bagai menyusun nama Ammar di awangan. “Bagaimana kamu ingin mulakan tugas kamu sebagai pakar ekonomi?” giliran Ammar pula menduga perancangan sahabatnya. “Ammar, yang aku nampak sekarang Islam sahaja jawapan untuk kestabilan ekonomi akan datang. Manusia hanya ada Islam untuk mengatasi ketamakan sistem rekaan yahudi hari ini. Hanya Islam yang boleh menyekat spekulator dari bermain main di bursa dunia.” Asad bersungguh menekan setiap perkataan. “Wah memang ada gaya seorang penasihat ekonomi. Bila sudah jadi kenyataan jangan kamu lupa sahabat kamu ini, ya!” Ammar sempat memasang angan. “Masa depan itu hal ghaib Ammar.”
“Aku takkan lupa sahabat yang sering mencabar langkahku.” Mereka menderai tawa.
“Aku ingin lihat bagaimana nasib orang serajin kamu sepuluh tahun lagi. Jika berbaloi aku akan menghantar anakku berguru denganmu. Seperti Kau dengan Syeikh Amin.” Asad tersenyum.

“Asad, semalam kamu tidak kelihatan. Kamu sihat?” Syeikh Amin menyapa Asad yang baru selesai menunaikan solat sunat syuruq. “Aku semalam dijemput memberi ceramah di komplek masyarakat Malaysia di khartoum. “Alhamdulillah, semoga Allah membesarkan ganjaran bagimu.” Syeikh Amin berbangga mendapat pelajar seperti Asad. “Apa tajuk ceramahmu?” Syeikh Amin menunjukkan minat. “Meninjau sejarah Islam dalam melakar masa depan Muslim.” Asad menjawab ringkas. “Semoga kamu membawa manfaat dalam masyarakatmu.” Syeikh Amin terus menerus mendoakan pelajarnya itu. “Aku ini sekadar menyampaikan ilmu guru.” Syeikh Amin menggeleng. “Bahkan kita ini sekadar menyampaikan ilmu Allah.” “Allah memberkatimu guru. Aku sering lupa.” Asad berjeda seketika. “Guru, apakah dengan bekerja sebagai guru kita dikira menjual ilmu?” Soalan Asad seringkali dipandang serius oleh gurunya. “ Bekerja sebagai guru itu sebaik baik pekerjaan. Menjual ilmu itu seburuk buruk amalan. Perbezaan kedua mereka adalah niat dan keikhlasan.”

“Asad, kudengar ceramah kau sudah meletup semalam.” Ammar menegurnya sebaik mendapati Asad di pintu keluar masjid. “Dari mana kau dengar?” Asad melayani provokasi Ammar. “Aku dengar dari anak muridku, Meor Asif. Dia memuji kamu semasa kelas Al Quran tadi. Katanya ‘Abang Asad memang best’.” “Itu ukuranmu?” Soal Asad. “Asad, Meor Asif itu baru tujuh tahun. Kalau dia tega mendengar ceramahmu yang serius itu, apa lagi papanya, mamanya dan jiran tetangganya.” Ammar meyakinkan. “Kanak kanak mestilah suka kerana aku banyak bercerita semalam.” Ammar mengangguk. “Aku juga suka mendengar cerita.” Asad tersenyum. “ Ya, manusia memang sukakan cerita.” Asad menangkap kata katanya sendiri dengan membuat rumusan gaya Al Quran menghuraikan persoalan berat melalui kisah kisah beharga. “Ammar kau rasa cerita mampu mengembalikan manusia kepada Islam?” “Erm kalau tidak mampu mengembalikan pun, aku yakin ia kuat untuk mencetus kesedaran.” Ammar pantas menjawab.

“Asad, Abang Kamal mahu kamu ke rumah malam ini, kalau kamu lapang.” “Boleh Insya Allah tapi selepas Isya baru saya lapang.” Asad mematikan talian sebaik sahaja menetapkan masa untuk bertandang ke rumah Penghulu Komplek Sri Nilein.

“Guru, apakah medan kalam itu memagari medan amal?” Soal Asad tenang. “Asad kamu tidak bertanya. Kamu sedang menghadam ilmu kamu. Apakah ini semua ledakan ceramah kamu?” Syeikh Amin menduga. “Guru, mereka meminta saya mendidik pelapis ummah.” Beritahu Asad. “ Apa perasaan kamu?” Syeikh Amin mengintai reaksi muridnya. “Guru, saya merasa inilah ujian dalam nikmat.” “Asad, anak anak itu fitrah, carilah tautan rasa bagi mengikat mereka kepada apa yang mengikat kamu dengan ilmu Islam.” “ Asad, apa yang membuat kamu begitu bersemangat mengenali jalan ini, di usia seawal ini?”Soalan ini membuku kisah hidup Asad sebelum ini. “ Apakah guru perlu mengetahuinya?” Asad keberatan menyelak kisah lalu hidupnya. “Seandainya aku layak berkongsi.” Asad serba salah. Khali. “Sebenarnya aku adalah anak kepada pasangan yang rosak. Namun aku bernasib baik diserahkan kepada keluarga yang punya kesedaran Islam. Aku ini anak zina. Ibubapa yang membesarkanku tidak mengetahui bahawa aku menyedarinya.” Bergenang mata Syeikh Amin mendengar pengakuan itu.
“Kau Suci Asad. Allah menyucikan engkau dari dosa ibubapamu.”
“Namun, setelah aku berumur lima belas tahun ibu kandungku mencariku, menceritakan semuanya. Ayah kandungku sudah mati ketika itu. Khabarnya mati akibat kemalangan semasa melarikan diri dari polis.” Asad bercucuran airmata.
“Inilah rahsiaku, kerana inilah persoalan mengembalikan manusia kepada Islam tak pernah lekang dari telahan mindaku.”

Asad mendidik anak-anak usrahnya dengan sepenuh hati. Semasa perbincangan dengan Abang Kamal Asad bersetuju mentadbir Usrah kanak-kanak atas sepuluh tahun dalam memperkenalkan mereka terhadap cara hidup Islam.
“Abang Kamal saya sudah berfikir mengenai caj yang akan saya kenakan.”
“Bagaimana?”
“Setelah saya hitung semua, saya rasa cukuplah Abang Kamal sediakan kenderaan untuk saya pergi dan balik.”
“Itu abang akan uruskan tetapi bayaran kamu bagaimana?”
“Saya bukan mengharap ganjaran dari abang. Takut nanti terkurang pula ganjaran dari Tuhan.”
“Kalau kamu kata begitu, abang dan ibubapa di sini akan putuskan berapa saguhati yang kami mampu.”

“Asad, kamu ini menzalimi diri sendri.” Ammar yang dari tadi mundar mandir tidak berpuas hati.
“Apa pula zalimnya?”
“Kamu itu pelajar, masa kamu bukan untuk menjaga anak-anak mereka. Bila kamu mengorbankan masa kamu, kamu berhak mendapat pampasan dari masa itu.”
“Aku bukan dipaksa, mereka sekadar meinta tolong.”
“Ah, kamu itu terlalu naif.”
“Ammar, kenapa kamu ingin memarahiku? Kamu takut Meor Asif berhenti dari kelas Al Quranmu?”
“Jangan kamu gusar, antara inti usrahku adalah menggalakkan mereka belajar Al Quran.”
“Ah, aku bercakap lain kamu mentafsir lain pula.”

“Guru, bagaimana ilmu itu dapat memancar dalam sinar wajah kita?” Soal Khair Ammar kepada Syeikh Asad.
posted by umaq_eiman at 2:53 PM 1 comments