siddiq-osman

Tuesday, June 24, 2008

akhirnyaa.


Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008 ini merupakan sayembara yang julung-julung kali dianjurkan oleh Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) meliputi semua ahli GKLN dari seluruh dunia tanpa batasan regional dan geografi, bahkan memberi fokus kepada genre cerpen.

Matlamat utamanya, mengenalpasti dan memperkukuh bakat, kemahiran, dan minat dalam genre cerpen di samping menyediakan platform untuk ahli-ahli GKLN mengetengahkan karya-karya prosa mereka secara lebih berkesan dan menggalakkan. Cetusan ini diharap dapat menggali dan memperbanyak produk-produk kreatif dari ahli-ahli GKLN sebagai khazanah seni dan susastera Melayu tanah air.

Penganjuran kali pertama ini telah mengumpulkan sejumlah 19 naskhah cerpen oleh 13 penulis dari pelbagai negara. Jumlah ini jauh melebihi sasaran penyertaan yang dijangkakan oleh penganjur, membuktikan betapa genre cerpen tetap mendapat tempat di kalangan ahli-ahli GKLN.Sebagai insentif dan galakan, sebahagian besar penyertaan yang dipilih oleh hakim akan dimuatkan dalam antologi cerpen GKLN yang bakal diterbitkan pada Ogos 2008.

Para hakim telah mengambil masa lebih 1 bulan untuk meneliti satu persatu penyertaan. Meskipun jumlah penyertaan yang memberangsangkan, mutu dan persembahan sebahagian besar penyertaan masih gagal memuaskan hati para hakim. Masih terdapat kelompangan terutamanya dalam aspek memahami ilmu dan kaedah penulisan cerpen yang baik. Pemilihan tema dan aspek penceritaan sebahagian penyertaan masih kurang mempamer kesegaran dan keunikan.

Sungguhpun begitu, dari perbincangan yang teliti para hakim telah mencapai bersepakat memilih 5 buah cerpen untuk dipilih sebagai pemenang Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara yang pertama ini.Senarai para hakim Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
1) Hafez Iftiqar Mohd Termizi (Ketua hakim)
2) Rebecca Ilham
3) Adibah Abdullah
4) Fahd Razy (Sekretariat)

KEPUTUSAN SAYEMBARA CERPEN GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA
PERTAMA
Mohammad Umar Aiman Bin Osman (Siddiq Osman) - SUDAN Judul cerpen: Mengemis di Kota Larangan
Hadiah tempat pertama:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 13 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

KEDUA
Nurul Lailati Mahat - MESIRJudul cerpen: Wahidah dan Secebis Tabah Khalilullah
Hadiah tempat kedua:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 10 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

KETIGA
Ainaa Mardhiah Suhaimi - MAGHRIBIJudul cerpen: JIDAL (Jihat Ideologi Duka Andalus Lama)Hadiah tempat ketiga:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 8 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

Hadiah Penghargaan
Muhaimin Sulam - UNITED KINGDOMJudul cerpen: Warkah Buat RabiahHadiah penghargaan: 1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 5 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

Hadiah PenghargaanMuhammad Syukri Rosli - AUSTRALIAJudul cerpen- Usrah di Penarek
Hadiah penghargaan:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 5 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

Sebaik 5-7 lagi cerpen yang dipilih oleh hakim bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008. Senarai penuh peserta yang berjaya akan diumumkan sedikit masa lagi.

JUTAAN TAHNIAH KEPADA PARA PEMENANG!Semoga kejayaan ini bakal menggalakkan budaya penulisan khususnya dalam genre cerpen di kalangan para pelajar luar negara.Laporan penuh para hakim bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008 berjudul 'Mengemis di Kota Larangan'
posted by umaq_eiman at 5:14 AM 0 comments

Sunday, June 22, 2008

suatu penerangan

Islam sebagai cara hidup.

Islam beerti penyerahan diri. Penyerahan diri di sini bukan bermakna pasrah atau putus asa, tetapi penyerahan ini beerti mengembalikan fitrah diri ini kepada pengaturan penciptanya.
Sebagaimana kita pasrah dalam masalah ajal dan tuah begitu jugalah kita perlu berserah dalam pengaturan cara hidup yang sebenar.

Allah mengaturkan seluruh kehidupan kita secara fizikal merupakan kepercayaan semua manusia. Semua manusia tahu bahawa mati itu ketetapan Tuhan. Sama ada mereka itu muslim atau bukan. Mereka juga akur bahawa pembinaan sel dalam rahim adalah aturan Tuhan secara fitrah. Manusia sekali lagi akur dengan fitrah bayi yang belajar menjadi manusia sedikit demi sedikit. Tetapi apabila sudah sampai tahap manusia memilih di sini ada yang memilih selain fitrah. Ada yang memilih selain penyusunan Tuhan.

Inilah yang dikatakan semua manusia itu diberi hak memilih. Kemudian mereka akan dibicarakan atas pilihan mereka. Islam merupakan satu system hidup yang paling sempurna. Allah menurunkan kitab Al Quran dalam tempoh 23 tahun kepada seorang nabi yang hidup dalam segenap lapangan masyarakat, bergerak dalam banyak suasana, bekerja dalam pelbagai bidang dan menjadi pemimpin kepada bermacam macam bangsa. Al Quran menceritakan semua kisah kisah penting umat dahulu sebagai panduan hidup. Al Quran kalau dirumuskan dapat kita fahami kesemua perbahasan Al Quran ada dalam satu Bab yang digelar Surah. Surah Al Fatihah mengandungi 7 ayat yang menyingkap isi Al Quran iaitu kita mesti melalui hidup dengan mengenali Tuhan. Islam adalah agama yang menukar peribadi manusia dengan hanya perakuan lisan tanpa sebarang upacara. Sekadar menyatakan “Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.” Maka dia sudah menjadi Muslim. Dalam ayat kedua Al Fatihah Allah menceritakan tanggungjawab hambaNya adalah memuji Allah dan menyatakan Allah lah yang mencipta dan mentadbir alam ini dan bersifat pemurah lagi pengasih bahkan merupakan Raja di hari pembalasan merupakan alasan Allah mesti dipuja. Selepas perintah memuja Allah, Allah menyatakan tugas lanjut iaitu menyembah hanyasanya Allah serta meminta bantuan hanya dari Allah. Kita diberitahu supaya memohon pedoman untuk mengikuti jalan yang benar. Dan Al quran menceritakan kisah kisah silam bagi manusia menilai mana jalan yang benar dari kisah kisah orang yang baik. Kisah sempadan juga disertakan bagi manusia menghindarinya.

Jadi Al Quran merupakan perlembagaan hidup. Kalau dalam persatuan kita akan disembahkan 2 buku panduan. Satu undang2 tubuh satu lagi panduan kerja. Jadi Al Quran inilah undang-undang tubuh kemanusiaan kemudian panduan kerja itu adalah Rasul atau Nabi utusan Tuhan yang mempamerkan bagaimana kehidupan seorang Muslim.

Menjadi Muslim cukup dengan ungkapan 2 kalimah syahadah. Tetapi untuk menghindar seksaan neraka perlu kepada perlaksanaan perintah Allah dan meninggal laranganNya. Oleh yang demikian Nabi menceritakan beberapa perkara mesti dibuat bagi menghindar neraka iaitu solat, puasa, zakat dan juga haji jika mampu. Seandainya perkara ini dilaksana manusia itu akan terpelihara dari azab selepas mati. Namun manusia ditimbang kanan dan kiri, Islam sebagai cara hidup yang lengkap menyediakan panduan terperinci mengikut kesesuaian manusia lantas Islam juga menjaga manusia dari menzalimi dan menindas manusia lain. Oleh yang demikianlah Islam menyenaraikan kepatuhan kepatuhan ini untuk kebaikan manusia pada dirinya dan pada orang lain. Sebagai cara hidup yang sempurna Islam juga menegah manusia dari beberapa perkara buruk supaya dijauhi, seperti zina, bunuh, curi, umpat, arak, judi dan perkara perkara yang merupakan gejala kepada masyarakat.
Islam bukan sekadar mengatur perkara perkara besar tetapi juga perkara yang disebut hal remeh. Seperti buang air, kebersihan diri, adab-adab amalan harian seperti makan, minum, bercakap dan sebagainya. Semuanya ada panduan yang lengkap menurut pandangan Islam dan bagaimana yang sebenarnya.

Islam itu lebih modern dari masa kini. Islam telah lama menceritakan hal – hal diet dan penjagaan pemakanan. Islam telah lama membicarakan tentang hak manusia seperti masalah hamba, masalah perkauman, masalah buruh, hubungan manusia dengan makhluk lain seperti binatang dan tumbuhan. Semua masalah yang dipandang sebagai perbincangan baru ole masyarakat barat telah lama Islam bincangkan.

Islam lebih ekonomis dari sistem perbankan. Islam menagajar jimat cermat tetapi menganjur kepada sedekah dan bermurah hati. Islam mewajibkan rasa puas hati dalam soal berjual beli dan sebarang urusniaga tunai atau hutang. Islam mengharamkan riba atau penindasan ekonomi. Islam tidak menyokong sikap suka berhutang. Konsep ekonomi Islam adalah lebih tulin.

Islam lebih adil dari saksama. Ketika mahkamah menghala kepada banyak kesalahan dalam menyabitkan kesalahan, Islam sebenarnya sudah lama menegaskan mensabitkan kesalahan itu perlu kepada tahap yakin iaitu 100peratus bersalah. Kerana pada pandangan Islam hukuman itu bukan untuk menzalimi tetapi untuk menyekat kezaliman. Jadi daripada kemungkinan tersalah menghukum lebih baik tersalah memafkan. Manakala hukuman dalam Islam adalah paling saintifik tetapi saintis enggan mendedahkannya. Islam menghukum pancung sebagai cara hukum bunuh, ini supaya saraf Tunjang putus dahulu sebelum saraf jantung. Ini mengelak dari pancutan darah. Walaupun ianya lebih ngeri dari melihat hukuman pancung.

Islam lebih politis dalam masalah kepimpinan. Islam mencegah sebarang rasa ingin berkuasa tetapi meletakkan beban yang sangat berat di atas bahu pemimpin bukan sebagai kebanggaan. Islam menjelaskan ciri ciri yang pelbagai untuk seorang pemimpin. Islam tidak menyamakan suara orang yang cerdik pandai dengan suara orang yang dungu. Islam mencegah keras amalan rasuah. Islam system pertama yang membezakan antara hadiah dan rasuah.

Sekiranya ada agama lain seperinci Islam maka yakinlah Islam bukan sahaja perinci tetapi tepat dalam setiap perinciannya. Tiada agama dalam dunia ini yang hanya bertuhankan Allah selain Islam. Ini menunjukkan pembebasan manusia dari penyembahan sesama ciptaan. Islam membebaskan manusia dari belenggu menghambakan diri pada bukan selayaknya kepada perhambaan yang sebenar.

Islam adalah yang sebenar dan Islam sahaja yang benar.
posted by umaq_eiman at 6:42 AM 0 comments

Tuesday, June 3, 2008

satu saranan

Perpecahan Yang Dipandang Remeh.
Oleh: Anak _ Ayah

Assalamualaikum saya memilih tajuk ini untuk dijadikan isu bagi keluaran kali ini kerana ingin mengalih perhatian pembaca dari masalah-masalah lain. Kita kini dilanda seribu satu permasalahan dalam segenap lapisan masyarakat, dalam seluruh pelusuk kehidupan. Orang tua dengan masalah perpecahan dalam keluarga, Belia dengan masalah tekanan dan juga bebanan hutang , remaja dengan masalah soasial dan kanak – kanak terdedah kepada penganiayaan. Hidup di zaman ini sering diburu ketakutan, kerisauan, kesedihan, kezaliman, korupsi dan juga konflik. Perkara ini menggugat kestabilan ekonomi, politik dan juga sosial.

Saya yakin dan beriman masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan Islam. Syed Qutb menyebut bahawa permasalahan aqidah merupakan tunjang kepada segala masalah dan itulah satu satunya cara untuk memulihkan segala krisis. Saya mengajak pembaca beriman dengan ungkapan ini. Semua makhluk Allah ciptakan berpasangan agar mengimbangi kelemahan yang sebelah lagi. Tetapi jika bukan kerana Allah makhluk itu bersatu akan beranak pinak kepincangan lain dari persenyawaan makhluk tersebut.

Saya mulakan dengan permasalahan ekonomi. Andai Islam tidak menjadi neraca segala urusan ekonomi, maka sampai bilapun ekonomi tidak akan bersih dari penindasan. Ini kerana selain dari sistem Islam yang Allah sendiri sediakan tidak ada satupun sistem yang bersih dari niat menjaga kepentingan sesuatu pihak, ini berlaku kerana sistem lain disediakan oleh manusia yang ada rasa berbelah bagi dan risau akan penerusan puak atau keturunannya. Berbanding dengan Allah Yang Maha Sempurna, Kaya dan tidak terpengaruh dengan sebarang kecacatan. Tetapi sayangnya sistem Allah ini hanya dijadikan alternatif bagi menarik pelanggan yang inginkan urusniaga Islam. Ini berlaku di mana mana.

Kita jengah pula dalam sistem politik yang paling kerap mencetuskan perbalahan dan juga perpecahan. Sistem demokrasi yang dikatakan paling ideal dan juga selamat dari sebarang penindasan ini sebenarnya mengenepikan banyak aspek aspek keadilan. Demokrasi sekadar membawa idea penyamaan yang pincang. Sedangkan Allah berkali kali menyatakan bahawa orang yang berilmu itu tidak sama dengan orang yang dungu. Allah juga menyebut berkali kali membezakan antara lelaki dan wanita. Keengganan meyakini Al Quran menjadikan manusia berbunuhan bagi mendapatkan sesuatu yang Allah sebut sebagai bala dan ujian. Harta, wanita dan takhta adalah ujian yang sangat ingin dinikmati nafsu. Allah yang menciptakan nafsu dan juga iman maka Allah jua yang layak menentukan perjalanan yang seharusnya bagi keduanya tidak bertembung. Islam sahaja yang dapat mengawal ketamakan kuasa yang seringkali menjadi bahana yang menyeru kepada perpecahan.

Gejala sosial terlalu meruncing di negara-negara yang membangun dan sudah hilang keamanan sosial di negara maju. Mungkin ada yang enggan menyetujui kenyataan ini. Saya berani mengatakan gagalnya penerusan hubungan perkahwinan adalah sebagai petanda kepada pincangnya sistem sosial sesuatu masyarakat. Keluarga dipersetujui oleh seluruh tokoh ilmu jiwa baik dari barat mahupun dari timur sebagai sekolah pertama kepada peribadi dan perilaku. Hanya Islam yang menjanjikan pembentukan keluarga yang terperinci dan menyeluruh dari pemilihan jodoh hinggalah ke pendidikan anak anak.

Semua sistem yang lain selain Islam hanya membawa manusia kepada perpecahan dan permusuhan. Bahkan ada sistem yang merasakan perpecahan itu diperlukan bagi mengawal manusia dengan mudah. Sedangkan Islam merasakan perpaduan dan kasih sayang sesama makhluk sahajalah sumber penyelesaian semua masalah ini. Saling kasih mengasihi, hormat menghormati. Kita dapat lihat kelebihan bersatu dalam banyak sumber selain Islam contohnya pepatah melayu yang terkenal bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pepatah arab ada menyatakan serigala itu hanya memakan kambing yang terpisah. Apatah lagi jika kita merujuk Al Quran dan Sunnah. Tetapi perpecahan akan melanda apabila ikatan itu diikat bukan kerana Allah.

Allah sahajalah sumber penyatuan yang sebenar. Saya tertarik dengan permasalahan yang ditimbulkan berkenaan isu penyatuan ummah ini. Bagaimana kita mungkin bersatu dengan warisan ilmu yang mengalir dalam berbagai aliran yang bertelagah sejak zaman dahulu? Saya yakin untuk menjawab persoalan ini memerlukan contoh yang dirakam dari sejarah silam. Sebenarnya aliran-aliran ini asalnya hanyalah kepelbagaian kefahaman, lama kelamaan semakin berjauh sehinggalah membentuk mazhab, Semakin lama semakin berbeza. Namun permasalahan sebegini belum menegang kepada persengketaan sehinggalah muncul generasi yang taasub dan gagal memahami punca perbezaan yang berlaku. Misalnya isu mazhab mazhab fiqh. Asalnya mereka saling berguru antara satu sama lain. Sehingglah imam – imam mazhab empat dijadikan rujukan terawal sebelum hadith dan juga Al Quran. Maka timbul pula golongan yang menafikan keharusan mengikuti mazhab. Sehingga muslimin menjadi ghairah untuk mengeluarkan pandangan masing masing. Akhirnya pintu ijtihad ditutup. Sebelum perkara ini dibukukan sebagai ilmu. Umat Islam mengalami ketidak stabilan politik dan peperangan yang tak putus putus. Sehinggalah hakikat ini samar dan terpendam di dalam kitab kitab sejarah sahaja.

Kini perpecahan timbul bukan sahaja kerana ilmu dan perselisihan antara tepat dan kurang tepat. Bahkan perselisihan kini menjermuskan masyarakat kepada kekeliruan dan kesesatan kerana yang berselisih adalah antara haq, bathil dan kekeliruan. Yahudi telah melancarkan peperangan saraf dan mengirim musuh musuh dalam selimut ke dalam lapangan keilmuan Islam. Dari sini timbul pula berbagai bagai aliran modern dalam Islam. Aliran ini ditimbulkan kononnya bagi menyelaraskan Islam dalam kehidupan zaman kini. Maka timbullah Islam dalam label baru yang diubah suai asas asas Islam mengikut citarasa masing masing. Oleh kerana tiadanya satu kerajaan Islam maka tidak ada sesiapa yang berkuasa menyelar mana mana golongan.

Maka sekarang ini tanggungjawab ummah ini yang terutama adalah mengembalikan daulah supaya perpaduan yang bermatlamatkan Allah terlaksana. Selagi perkara ini tidak berlaku sampai bilapun kebahagiaan sejagat hanyalah angan angan yang sia sia. Bila bertanya bagaimana ingin membina daulah. Jawapan yang paling senang untuk dilaksanakan hanyalah dengan menegakkan Islam dalam diri sendiri kemudian kaum keluarga dan berkembang sehinggalah masyarakat. Satu satunya jalan selamat ke arah daulah adalah dakwah dan tarbiyah.

Perlu saya tegaskan bahawa dakwah itu sangat luas dan ada syarat-syaratnya. Saya petik dari firman Allah yang bermaksud “dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari mereka yang mengajak kepada Allah dan melakukan amal amal soleh lalu mereka mengatakan sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Muslim.” Maka syarat dakwah yang utama di sini adalah mengajak kepada Allah, bukan kepada jamaah atau parti atau ideologi. Disertakan pula ajakan itu dengan amal amal kebajikan yang membawa kebaikan pada masyarakat dan alam. Akhirnya mereka tidak menyatakan diri mereka ini selain sebagai Muslim yang menyerah diri kepada Allah. Lapangan dakwah itu termasuklah lapangan ekonomi, politik, pendidikan, keselamatan,kehakiman dan segenap sudut kehidupan masyarakat.

Kefahaman yang murni sahaja yang bakal menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah dan kemajuan dakwah. Selagimana ilmu Islam dijadikan ilmu sampingan dan picisan selgi itulah juga permasalahan kemanusiaan itu akan terbengkalai. Saya menyeru pembaca kembali membaca Al Quran untuk belajar dan mengkaji. Membaca sunnah untuk mendalami dan memahami.

Hanya ilmu yang dibekalkan dari langit yang mampu memimpin kebahagiakan manusia seluruhnya tanpa berbelah bagi.
posted by umaq_eiman at 4:43 PM 2 comments